Peluang pelabur jangka panjang
Jangkaan pergerakan turun naik tinggi hingga menjelang pilihan raya
PASARAN saham tempatan dijangka bergerak dalam jajaran turun naik yang tinggi dalam tempoh menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini, sekali gus menyediakan peluang kepada pelabur jangka panjang untuk membeli saham mewah pada harga rendah.
Penganalisis pasaran berkata, lazimnya pasaran saham di mana-mana saja akan berada dalam keadaan tidak menentu menjelang pilihan raya umum kerana pelabur mengambil sikap berhati-hati dan mengurangkan pegangan sebelum mendapat gambaran jelas mengenai hala tuju pentadbiran negara.
Situasi sama, kata mereka akan turut berlaku dalam pilihan raya kali ini dan ia akan berlarutan dalam tempoh sehinggalah hari pengundian.
Penganalisis di CIMB Equities Research, Terrence Wong dalam nota penyelidikannya semalam, berkata walaupun berdasarkan kaji selidik terbaru Merdeka Center, populariti Datuk Seri Najib Razak berada pada tahap tinggi, iaitu 61 peratus, namun pelabur dijangkakan akan tetap mengambil sikap berhati-hati dan terus berada di luar pasaran sekali gus mengekang kenaikan pasaran.
“Secara umumnya, 61 peratus adalah peratusan yang tinggi dan dicemburui kebanyakan pemimpin negara. Kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa 45 peratus responden kaji selidik itu berpuas hati dengan prestasi Barisan Nasional (BN) manakala yang tidak pasti atau enggan menjawab pula hanya 11 peratus.
“Namun, kami menjangkakan pasaran saham tempatan akan tetap didagangkan dalam keadaan turun naik sepanjang tempoh kempen pilihan raya ini,” katanya.
Beliau menjangkakan, prestasi pasaran saham tempatan selepas pengundian akan bergantung kepada tahap tekanan jualan dalam tempoh berkempen dan keputusan pengundian.
“Jika tekanan jualan adalah tinggi dalam tempoh sebelum pengundian, ia bermaksud pelabur sudah mengambil kira semua risiko. Pasaran dijangka akan kembali meningkat jika kerajaan sekarang memenangi pilihan raya umum kali ini,” katanya dalam nota penyelidikannya yang dikeluarkan semalam.
Hanya sementara
Pada sesi dagangan semalam, Indeks FBM KLCI meningkat 7.85 mata mata untuk mencecah paras tertinggi harian 1,692.85 mata dalam tempoh setengah jam pertama berikutan belian berterusan dalam saham mewah.
Namun, jualan panik apabila tersebarnya berita mengenai pengumuman pembubaran Parlimen menyebabkan indeks penanda aras itu jatuh lebih 50 mata kepada 1,632.28 mata.
Indeks itu, bagaimanapun, melonjak semula pada sesi sebelah petang disokong oleh belian dalam saham murah sebelum ditutup pada 1,685.40 mata, meningkat 0.4 mata berbanding penutup kelmarin.
Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata kejatuhan mendadak FBM KLCI pada sesi pagi dagangan semalam adalah reaksi keterlaluan pelabur tetapi ia hanyalah sementara.
Namun, beliau berkata, pihaknya menjangkakan pasaran tempatan akan bergerak dalam keadaan yang tidak menentu dalam tempoh terdekat ini kerana pelabur masih bimbang dengan keputusan pilihan raya kali ini.
Nazri berkata, bagaimanapun keadaan tidak menentu itu sebenarnya menyediakan peluang kepada pelabur jangka panjang untuk membeli saham yang mempunyai prospek yang cerah pada harga rendah.
Beliau berkata, pihaknya yakin pasaran tempatan akan melonjak selepas pilihan raya umum jika BN memenangi majoriti dua pertiga.
“Kami mengunjurkan FBM KLCI mampu mencecah paras 1,800 mata jika BN meraih semula majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat,” katanya.
Comments
Post a Comment